12:14 PG

..AKU DAN BUKU...


Alhamdulillah , hari ni dapat jugak saya habiskan sebuah buku yang bertajuk PEMIKIR REFORMASI DAN MASYARAKAT REVOLUSIONER. Sedikit sebanyak bolehlah saya berkongsi ilmu dengan sahabat-sahabat.

sebelum saya kupas lebih jauh, saya ingin ajukan satu soalan, siapakah pemikir reformasi ini? adakah ianya seorang ulama' atau seorang pensyarah atau seorang guru atau seorang Perdana Menteri atau sebaliknya?

Pemikir reformasi ini lahir atas dasar kesedaran seseorang itu untuk mengubah keadaan masyarakat di sekeliling yang mana pada ketika itu hubungan di antara golongan intelektual dan masyarakat amat jauh. Maksud saya di ini, golongan inteklektual ini hanya berada di kalangan mereka sahaja tanpa bergaul dengan masyarakat yang mana golongan intelektual terus menjadi intelek sebaliknya golongan yang kurang berilmu ini terus dengan kejahilannya. Jadi golongan intelektual ini bukannya pemikir reformasi sebaliknya merupakan golongan yang hanya mampu memberikan teori semata-mata dan tidak memandu masyarakatnya secara teori dan praktikal.

Pemikir reformasi ini adalah pemikir yang celik (enlightened souls) yang mana ianya tidak merujuk kepada mereka yang mempunyai pendidikan universiti sebaliknya merujuk kepada mereka yang mempunyai kesedaran untuk mengubah gaya hidup masyarakat yang jahil kepada gaya hidup beragama.

Contohnya adalah golongan para Nabi terdahulu. Para Nabi selalunya wujud dari kalangan golongan masyarakat dan boleh berkomunikasi dengan rakyat umum dalam memperkenalkan motto baru, memberi visi baru, memulakan pergerakan baru dan memberi tenaga baru dalam kesedaran masyarakat pada era mereka hidup. Pergerakan yang konstruktif para Nabi yang mempunyai unsur revolusioner menyebabkan masyarakat umum bangun serta mentransformasi arah hidup, cara hidup, perspektif, budaya dan destinasi mereka.

Mereka yang celik ini adalah mereka yang menyedari dan arif mengenai situasi sosial manusia yang sebenarnya pada zaman kini dan masa lampau dan mempunyai tanggungjawab sosial. walaupun golongan celik bukan dari kalangan Nabi, mereka harus memainkan peranan sebagai seorang Nabi dalam masyarakat. Seseorang yang celik harus memperjuangkan isu kebebasan dan kesedaran kepada rakyat yang jahil dan menyumbang kepada kepercayaan baru yang membara dalam hati mereka di samping memberi garis panduan sosial dalam masyarakat mereka.

Seseorang yang celik harus menggunakan agama sebagai asas untuk memandu masyarakatnya, memberi sinar dan harapan baru ke dalam minda dan hati masyarakat dan menyedarkan mereka mengenai kejahilan, kepercayaan karut dan kemunduran masyarakat Islam. Pemikir celik ini harus membangunkan kesedaran mengenai Islam dan menghapuskan semua punca kemunduran yang telah menghentikan proses pemikiran aktif.


P/S: Jadi kita tergolong dalam golongan yang mana? Adakah golongan pemikir yang semata-mata intelek tanpa celik atau golongan pemikir intelek yang celik?

0 ulasan: